Etika Perniagaan

Pandangan Islam dan Kepentingannya

Oleh: Mohd Zulfadli (usahawan)


Etika perniagaan secara mudah bermaksud, berniaga dengan menjaga adab, peraturan dan juga kepentingan (maslahat) bersama.

Antara ciri-ciri etika perniagaan yang baik ialah:

1. Jujur. Seorang peniaga atau sebuah perniagaan tidak akan menipu para pelanggan mereka. Mereka bercakap apa yang benar dan menyatakan kekurangan barangan jika ada, sebaliknya tidak menyembunyikannya.

Peniaga yang jujur juga menjual barangan yang baik-baik sahaja dan tidak menjual sesuatu yang sudah rosak atau sudah tidak boleh dipakai lagi tanpa pengetahuan pembeli. Umpama menjual buah, mereka sama-sekali tidak mencampur-adukkan dengan buah-buah yang buruk bersama dengan yang baik.

2. Tidak mementingkan diri sendiri. Sebuah perniagaan yang baik bukan hanya mahu keuntungan semata-mata. Hakikatnya berniaga adalah salah satu cabang usaha yang mulia kerana ia memenuhi kehendak dan keperluan manusia. Dari asas kefahaman itulah, usahawan atau peniaga yang beretika lebih mementingkan kesenangan orang lain.

Tidaklah bermakna tidak perlu untung jika beretika, tetapi selain mendapat keuntungan, para pelanggan juga mendapat manfaat yang baik daripada barang yang dijual tersebut.

3. Menjual barang yang halal sahaja. Di dalam Islam, salah satu aspek yang diutamakan ialah barangan yang bermanfaat, bersih atau dalam bahasa yang mudah, bukan sesuatu yang membahayakan.

Halal ini bukan hanya untuk orang Islam semata-mata, tetapi ia amat sesuai untuk semua manusia di dunia ini kerana ia menjaga manusia daripada kemelaratan diri dan jiwa.

Maka, para peniaga yang beretika perlulah menjual atau meniagakan sesuatu yang bermanfaat sahaja dan jangan sesekali melibatkan diri dengan perniagaan yang haram di sisi Agama. Contohnya menjual dadah, barangan curi, makanan yang jelas diharamkan oleh Agama dan apa sahaja yang membahayakan para pembeli.

4. Tiada unsur judi, riba, meragukan atau perkara merugikan sebelah pihak. Sebuah perniagaan yang mempunyai etika yang baik ialah tidak mengenakan apa-apa faedah (bunga/riba) kepada para pelanggannya, bahkan memberikan kemudahan yang bersesuaian.

Dalam aspek yang lain pula contohnya seperti harga. Seorang peniaga yang baik sama-sekali tidak cuba meletakkan harga yang tidak masuk akal atau dalam bahasa yang lain, harga yang mencekik darah.

5. Tidak memonopoli. Perkara ini amat ditegah di dalam Islam. Jika mengikut etika perniagaan yang baik, seorang peniaga tidak harus memonopoli sesuatu barangan. Sebaliknya Islam menggalakkan saling bantu membantu di antara satu sama lain.

Contoh monopoli di sini ialah seperti sebuah perniagaan menggunakan segala kuasa yang ada pada mereka untuk menaikkan harga, atau menyalahgunakan kekuatan yang mereka ada untuk menyekat orang lain melakukan sesuatu yang sama seperti mereka. Akhirnya, hanya mereka sahaja yang untung dan orang lain hanya dieksploitasi sewenangnya.

Di dalam perniagaan, hubungan yang wujud bukan hanya peniaga dan pembeli, malah peniaga dengan peniaga yang lain juga perlu menjalinkan satu hubungan yang baik. Bersaing secara baik dan saling membantu jika peniaga yang lain menghadapi masalah.

Kesimpulan

Itulah beberapa ciri etika perniagaan yang baik dari sudut pandangan Agama Islam yang bukan hanya untuk yang beragama Islam sahaja, malah ia adalah untuk semua manusia di dunia ini.

Jelas, etika perniagaan terutama di dalam pandangan Islam amat menekankan kepentingan dan kebaikan kedua-dua belah pihak iaitu peniaga itu sendiri dengan si pelanggan atau seluruh manusia secara amnya.

=======================================================================
Mengenai Penulis Artikel:

Mohd Zulfadli adalah seorang usahawan sepenuh masa yang melakukan perniagaan berasaskan di rumah (Home Based Business). Lawati blog beliau untuk membaca tip dan panduan perniagaan dan keusahawanan secara percuma di http://blog.smartusaha.com.

=======================================================================

Hakcipta Terpelihara (c) SmartUsaha.com 2007-2008